Video:Warga Emas Rayu Bantuan Baik Pulih Rumah

Friday 5 April 20130 comments

Hasrat seorang warga emas berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk meluahkan masalah yang menimpa akhirnya tercapai menerusi program Hari Bertemu Rakyat yang diadakan di Dewan Serbaguna, SUK dekat Ipoh, pagi tadi.
Menurut Ng Jee Cheng atau Mariam Abdullah, 70, dengan keadaan dirinya semakin uzur akibat mengidap beberapa penyakit, kedatangannya buat kali ketiga akhirnya membuahkan hasil apabila Menteri Besar sendiri hadir untuk mendengar masalah yang dihadapinya.
Sebak dengan keadaan yang berlaku, warga emas tersebut mengalirkan air mata dan terpaksa ditenangkan sendiri oleh Menteri Besar yang kemudiannya  memegang tangan Mariam ketika wanita itu menceritakan masalah yang menimpa dirinya.
Mariam ketika ditemui berkata, rumah yang didiaminya di Kampung Rapat Jaya Tambahan hampir 30 tahun perlu dibaiki kerana hampir sebahagian siling rumahnya telah musnah akibat dimakan anai-anai.
“Kejadian berlaku pada bulan puasa tahun lepas apabila siling dapur rumah saya roboh dimakan anai-anai dan kini merebak ke bahagian tengah, ruang tamu dan bilik tidur saya, ” katanya.
Bertambah buruk apabila musim hujan, Mariam terpaksa berdepan dengan ketakutan bukan sahaja kerana atapnya yang bocor dimasuki air malah bimbang sekiranya siling yang mula mereput itu menghempap dirinya.
“Bila hujan lebat makcik terpaksa takung air bocor dengan baldi dan kadang-kadang bimbang sekiranya terkena renjatan elektrik dengan keadaan rumah makcik sekarang ini,” katanya ketika ditemui pada program Hari Bertemu Rakyat itu.
Disebabkan keadaan itu, Mariam terpaksa menahan siling rumahnya daripada runtuh dengan sebatang kayu panjang bagi mengelakkan siling yang semakin mengembung runtuh.
Katanya, walaupun menerima pencen arwah suaminya berjumlah RM470 sebulan, wang itu tidak mencukupi untuk membaiki  rumahnya yang rosak teruk.
Bimbang dengan keselamatan dirinya yang tinggal seorang diri, Mariam hanya bergantung harap bantuan daripada Menteri Besar.
“Sekiranya Menteri Besar dapat bantu, saya akan ingat jasa beliau sampai bila-bila,” jelasnya.
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved