BN Boleh Rampas 20 Kerusi Pembangkang

Thursday 4 April 20130 comments

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan hari ini yakin Barisan Nasional (BN) boleh merampas sekurang-kurangnya 20 kerusi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini dan ia bukan satu retorik semata-mata.
Katanya, BN mempunyai sebanyak 140 kerusi sekarang dan mempunyai potensi untuk merampas lima kerusi dari 23 kerusi PAS, lima kerusi dari 28 milik DAP dan 10 kerusi dari PKR.
“Saya buat sendiri analisa ini. Saya turun berkali-kali ke sesuatu tempat untuk mengesahkan kajian saya. Misalnya di Parlimen Bandar Tun Razak, saya turun 17 kali, saya yakin kita akan menang kembali di parlimen ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Bandar Tun Razak dan Desa Tun Razak di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendapat bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dalam akhbar tempatan baru-baru ini bahawa, BN mampu untuk merampas kembali Kedah dan Selangor.
Ahmad setuju dengan Daim dan berkata Daim sudah tentu mengeluarkan pendapat itu melalui satu-satu kajian dan bukan sekadar bercakap kosong.
Beliau turut mengariskan 13 sebab mengapa BN boleh menang dalam pilihan raya kali ini selain dari faktor kepimpinan Perdana Menteri. Ia adalah:-
1. Pengalaman BN yang luas sebagai kerajaan
2. Konsep 1Malaysia yang mendapat sambutan 3. Transformasi Kerajaan
4. Umno dan BN yang kukuh
5. Kerajaan hari ini yang menepati janji
6. Pimpinan BN yang bersih dari tuduhan
7. Keadilan kepada semua kaum
8. Usaha BN untuk menjadikan negara maju dan berpendapatan tinggi
9. Rekod-rekod pencapaian yang baik
10. Pembangunan di seluruh negara
11. Perpaduan di kalangan rakyat
12. Kerajaan yang mendahulukan rakyat dan
13. Keupayaan BN untuk meletakkan Malaysia di pentas dunia dan dikenali.
Sehubungan dengan pembubaran parlimen, beliau mahu semua pusat PDM terus menjalankan pelbagai program seperti yang telah dibuat sejak awal tahun ini tanpa perlu menunggu hari penamaan calon atau hari kempen.
Katanya, jika kesemua 23 PDM di Bandar Tun Razak menjalankan kerja, kawasan parlimen itu boleh ditawan kembali oleh BN.
“Ini amanat dari Perdana Menteri yang mahu menyelamatkan bandar ini yang dinamakan sempena nama bapanya,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved