Kit Siang Patut Tidak Tanding

Wednesday, 3 April 20130 comments

PUTRAJAYA – Selaras dengan pembubaran Dewan Rakyat hari ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan penyokong Barisan Nasional (BN) agar mendahulukan parti tanpa mengira individu yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.
“Ini pertandingan antara parti, bukan pertandingan antara orang perseorangan kerana hanya parti saja yang boleh tubuh kerajaan, jadi mereka mesti tentukan parti mereka menang.
“Kalau mereka betul-betul setia pada parti, jangan kira siapa jadi calon.
“Kalaupun di situ dia letak calon MCA, Umno mesti sokong. Kalau dia letak calon Umno, MCA, MIC mesti sokong kerana kita hendak parti BN menang,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
BN diyakini akan memenangi PRU13 nanti, malah mungkin dengan majoriti dua pertiga berdasarkan pengundi, termasuk pengundi Cina kini dilihat kembali kepada BN berdasarkan respons daripada siri perjumpaan yang dihadiri pemimpin parti, katanya.
Ditanya sama ada beliau akan kembali bertanding untuk menyahut cabaran penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya beliau bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor, Dr Mahathir berkata, beliau tidak mahu bertanding lagi memandangkan beliau sudah bersara dan Lim yang sepatutnya mengikut jejak beliau.
“Dia patut bersara sebab dia aktif dalam politik ini sejak tahun 1964, bagilah can (peluang) kepada orang muda. Saya bagi peluang pada orang muda sebab itu saya letak jawatan pada 2003.
“(Lim) Kit Siang ini walaupun dia seorang ahli politik yang berpengalaman dan berpengaruh, tapi tiba masanya dia tarik diri, tak usah bertandinglah, bagilah peluang pada orang muda,” katanya.
Dr Mahathir sebelum itu menerima kunjungan bekas ahli Pas seumur hidup Zainon Ismail yang memohon maaf kepada beliau.
Zainon atau lebih dikenali dengan nama CN Afghani mengaku pernah merancang membunuh Dr Mahathir pada tahun 1988 kerana terpengaruh dengan ‘Amanat Haji Hadi’ yang menyatakan bahawa Umno kafir.
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved