Agong Dan Permaisuri Tunai Solat Sunat Aidiladha Di Masjid Negara

Tuesday 15 October 20130 comments

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tiba di masjid kira-kira 8.20 pagi.
Baginda bersama kira-kira 15,000 jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Selesai menunaikan solat, Seri Paduka berdua berkenan beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda berdua sebaik selesai khutbah Aidiladha.
Sementara itu, Syaikh Ismail ketika menyampaikan khutbah bertajuk ‘Aidiladha Lambang Perpaduan Hakiki’ menyeru umat Islam untuk memperkukuhkan benteng perpaduan agar tidak mudah menjadi mangsa korban musuh-musuh Islam.
“Umat Islam perlu sentiasa menginsafi dan menjiwai pengertian ibadah korban bukan hanya sekadar penyembelihan tetapi dihayati dengan sepenuh jiwa.
“Kita juga perlu sentiasa berwaspada dan bersedia mempertahankan kesucian Islam dalam apa cara sekalipun agar semua gejala keruntuhan akhlak dan akidah dapat dibendung,” katanya.
Beliau berkata ibadah korban adalah isyarat supaya semua umat Islam bersatu hati dalam memperjuangkan agama Islam melalui pelbagai sudut termasuk masa, tenaga dan harta benda.- BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved