[EDISI CUAI] Polis Tertembak Kanak-kanak 10 Tahun

Wednesday 16 October 20130 comments

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak berumur 10 tahun mengalami cedera parah apabila ditembak secara tidak sengaja oleh seorang polis berpangkat Sarjan dari Ibu Pejabat Daerah Taiping.

Kejadian itu berlaku apabila Sarjan tersebut sedang mengosongkan senjatanya di hadapan rumah mertuanya di Kampung Belanja Kiri, Parit, pada Isnin.

Mangsa, Mohd Amar Mohd Azizi berada dalam jarak antara 30 ke 40 meter dari rumah tersebut semasa kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Timbalan Superintendan Leong Ah Kow berkata Mohd Amar ditemui oleh orang awam yang berada di kawasan berhampiran lebih kurang 45 minit selepas kejadian.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Parit untuk mendapatkan rawatan namun terpaksa dipindahkan ke Hospital Batu Gajah apabila mendapati kecederaan yang dialami mangsa adalah serius.

“Bagaimanapun, selepas ujian imbasan x-ray dijalankan, doktor menemui anak peluru sudah masuk ke dalam kerongkong mangsa.

“Berikutan itu, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menjalani pembedahan bagi membuang peluru berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Leong berkata, pihak polis kemudiannya telah merampas satu pistol jenis P99 dan satu magazine berisi 14 butir peluru termasuk kelongsong peluru daripada Sarjan tersebut.

Leong turut berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 atas kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam. -astroawani
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved