Maizurah Hamzah Jadi Penulis Buku Kanak-Kanak

Tuesday 8 October 20130 comments

PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Maizurah Hamzah tidak pernah melupakan bidang seni walaupun dia jarang dilihat muncul di mana-mana drama ataupun program televisyen.
Maizurah, 40, berkata, dia kini sedang memberikan tumpuan terhadap bidang penulisan yang mengkhususkan kepada buku pendidikan agama untuk kanak-kanak.
“Rindu juga hendak kembali menyanyi dan berlakon tetapi buat masa ini saya lebih selesa bergelar penulis buku dan minat itu telah lama saya pendamkan sejak 10 tahun lalu.
“Buku yang saya tulis lebih berbentuk pendidikan untuk kanak-kanak dari umur empat hingga 14 tahun tentang pemahaman hubungan dengan Allah dan Rasulullah dalam kehidupan seharian,” katanya kepada mStar Online.
Maizurah memberitahu dia juga sudah melancarkan buku pertamanya bertajuk Super Zickr untuk kanak-kanak di dalam bahasa Inggeris.
Dalam perkembangan sama, Maizurah walaupun tidak aktif sebagai pelakon dan penyanyi namun itu bukan bermakna bidang hiburan telah dilupakan sebaliknya dia tetap mencari keseimbangan antara pendidikan dan hiburan.
Katanya, dua bidang tersebut mempunyai banyak hubung kait dan hiburan diperlukan dalam menggalakkan kanak-kanak minat membaca.
“Anak saya penggemar komik superhero dan saya terfikir mengapa elemen itu tidak diterapkan dalam konsep Islam seperti ucapan Bismillah dan zikir yang sudah tentu mempunyai kuasa lebih hebat berbanding superhero barat.
“Pendekatan itu juga yang saya gunakan untuk buku pertama kerana ingin memberi kanak-kanak di negara ini sebuah buku yang bercirikan Islam dan mesej baik selain ia dapat menari perhatian mereka,” katanya.
Selain menulis dia kini sibuk menguruskan keluarga dan empat anak-anaknya iaitu Zikri Adib Kurnia, 16, Nadira Azra Kurnia, 11, Izz Ilham Kurnia, 6 dan Maira Zahra Kurnia, 3 tahun.
Pelakon yang terkenal dengan filem Jimi Asmara ini berkata, dia berpuas dapat menguruskan sendiri rumah tangganya dan mereka adalah keutamaannya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Maizurah bakal terlibat dalam Festival Kanak-Kanak Islam Malaysia (MICF) pada November depan yang bertujuan untuk memberi penekanan terhadap pendidikan Islam kepada golongan berkenaan
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved