Publisiti Dah Jatuh No.2 – Fasha Sandha

Wednesday 9 October 20130 comments

Sejak bergelar isteri dan ibu, Fasha Sandha mengakui publisiti bukan lagi menjadi keutamaan buat dirinya biarpun masih aktif dalam dunia lakonan. Sebaliknya, aktres jelita ini sekarang lebih memberi tumpuan pada keluarganya. Meskipun kini dia jarang muncul di dada akhbar juga kaca TV berbanding sewaktu zaman anak daranya, namun Fasha bersyukur kerana hampir 10 tahun dalam industri lakonan, dia masih diberi peluang dan kepercayaan untuk menjayakan pelbagai watak baik dalam drama mahupun filem.
“Alhamdulillah saya suka dengan perkembangan saya sekarang. Walaupun ramai pelakon baru tapi saya masih ada tawaran berlakon. Saya dah melalui fasa lain. Kerjaya dan publisiti sekarang dah jatuh nombor 2. Kini saya dah jadi isteri dan ibu jadi tumpuan saya lebih pada keluarga.
“Tapi saya ni jenis suka bekerja. Memang dari remaja lagi saya dah diasuh untuk bekerja. Kalau saya duduk rumah, saya tak tahu nak buat apa. Masa saya mengandung pun, saya tetap bekerja dan banyak habiskan masa di salon saya. Suami saya pun tak beri apa-apa syarat kalau saya nak teruskan kerjaya saya.
“Sedih dan berat hati jugalah bila nak keluar bekerja dan terpaksa tinggalkan Rayfal. Tapi saya memikirkan tanggungjawab saya kepada masyarakat, saya kuatkan semangat. Tambah-tambah sekarang kalau saya nak keluar rumah tu, Rayfal dah pandai nak ikut saya. Biasanya saya akan hantar ke rumah ibu atau rumah ibu mertua saya”, Fasha mengenai perkembangan terbarunya ketika ditemui di lokasi penggambaran telemovie Cinta Mat Semprit, di Tasik Ampang Hilir, semalam.
Lego Boleh, iPad Tidak!
Dalam pada itu tambah Fasha, dia teruja melihat perkembangan anak sulungnya Putra Rayfal yang kini berusia lima bulan yang sudah pandai merangkak.
Kata isteri kepada Rizal Ashram aka Jejai ini, dia menggunakan pendekatan mendidik putera kesayangannya itu dengan didikan tradisional dan moden.
“Saya gunakan dua-dua pendekatan, moden dan tradisional dalam mendidik Rayfal. Dan saya tak bagi dia main iPad, biarlah dia main lego. Bagi saya, bayi kena jadi bayi, kanak-kanak kena jadi kanak-kanak. Tak mahu dia cepat sangat terdedah dengan gadjet yang ada sekarang”, ujarnya.
Perkembangan lain, Fasha bakal muncul dalam telemovie sempena Aidiladha berjudul Cinta Mat Semprit. Fasha melakonkan watak sebagai Lola, pakar membuat kuih semperit. Lola merupakan kakak kepada Ariel (lakonan Aeril Zafrel). Dia sanggup melakukan apa saja demi kebahagiaan adiknya.
Telemovie arahan Raja Ahmad Alauddin turut dijayakan Aeril Zafrel, Izara Aishah dan Roy Azman. Ia bakal bersiaran pada 15 Oktober, 10 malam di TV3. – Malaysian Digest
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved