Agihan Kerusi Di 3 Negeri Belum Dimuktamadkan

Friday 5 April 20130 comments

PETALING JAYA – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali mengesahkan bahawa agihan kerusi pakatan pembangkang di Johor, Sabah dan Sarawak masih belum dimuktamadkan.
“Negeri-negeri lain kita sudah capai keputusan muktamad dalam agihan kerusi,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR selepas satu mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di sini hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam sejak pukul 3 petang turut dihadiri Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Bendahari Agung PAS Dr Mohd Hatta Ramli.
Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan mengumumkan senarai calon yang bertanding dan jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS, DAP dan PKR, pada Isnin (8 April) ini.
Bagaimanapun, katanya lokasi dan masa pengumuman itu akan dimaklumkan kepada media dalam masa terdekat.
Mengulas kenyataan Naib Presiden parti itu Nurul Izzah Anwar yang menyangkal kenyataan Anwar bahawa ibunya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, Mohamed Azmin menegaskan bahawa presiden parti itu memang tidak akan bertanding kali ini.
Ditanya sama ada mesyuarat turut membuat keputusan berhubung kedudukan Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng, yang belum tersenarai sebagai calon PKR pada PRU-13, beliau berkata pihaknya masih lagi membincangkan perkara itu
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved