Pemimpin Wanita BN Tidak Terpilih Diminta Elak Perangkap ‘Projek Khas’ Pembangkang

Friday 5 April 20130 comments

KOTA KINABALU, 2 April –  Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) pusat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan semua pemimpin wanita parti komponen itu yang tidak dipilih atau dicalon pada pilihan raya umum akan datang agar tidak terperangkap dengan ‘projek khas’ pembangkang yang cuba menangguk di air keruh.
Sebaliknya, beliau berkata mereka harus terus berjuang, setia dan memberikan sokongan padu sekali gus memastikan kemenangan BN.
“Saya meminta kepada semua pemimpin wanita yang secara sukarela dan ikhlas mengundur diri daripada bertanding, atau mereka yang tiada rezeki untuk bertanding pada PRU13 supaya terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN, teguhkan iman dan kembali kepada perjuangan asal BN.
“Jangan kita biarkan diri kita dipengaruhi anasir daripada parti pembangkang yang saya tahu akan ada projek khas mereka untuk memujuk, mendesak dan banyak lagi helah kepada mereka yang tidak menjadi calon,” katanya.
Shahrizat, yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara, berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan bernilai RM50,000 kepada 500 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Numbak, Sepanggar pada malam Rabu lepas, di pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna Likas pada Selasa.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Armani Mahiruddin, Anggota Dewan Undangan Negeri Karambunai yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Jainab Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Jumat Idris.
Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO, berkata walaupun tidak bertanding pada pilihan raya umum kali ini, beliau tetap bersemangat meneruskan perjuangan untuk BN dan bertekad akan terus turun padang.
“Saya percaya dengan misi dan visi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan setia berpegang teguh kepada semangat perjuangan BN.
“Sebab itu, walaupun saya tidak bertanding, semangat saya masih lagi berkobar-kobar untuk membantu jentera pilihan raya dan seterusnya menggerakkan jentera wanita,” katanya.
Ditanya sama ada lebih ramai calon wanita BN bakal dicalon pada PRU13, Shahrizat berkata beliau mengemukakan ‘ramai nama’ untuk pertimbangan Perdana Menteri.
“Semua nama saya sudah serahkan, dan saya sudahpun berjumpa dengan Perdana Menteri pada Rabu tetapi akhirnya terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan.
“Ini kerana banyak perkiraan yang akan dibuat oleh Perdana Menteri. Siapa yang menjadi calon, kita tunggu… sebab ramai pemimpin wanita yang layak.
“Saya berharap beliau akan memberi ruang dan peluang kepada calon wanita,” katanya.
Shahrizat turut melahirkan keyakinan bahawa setiap negeri akan mengetengahkan calon wanita pada pilihan raya umum nanti.
“Naluri wanita kita bukan pengkhianat, walaupun banyak nama yang saya bagi tetapi kalau ada nama yang tidak dicalonkan, saya yakin kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi kepada BN,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved