Polis Jamin Proses PRU-13 Lancar

Wednesday 3 April 20130 comments

KUALA LUMPUR – Walaupun sedang berdepan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap komited dan memberikan jaminan bahawa proses pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan berjalan lancar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata proses PRU13 tidak akan terganggu walaupun sebahagian anggota pasukan keselamatan ditugaskan dalam Operasi Daulat di Sabah.
“Kita akui kita sedang berhadapan dua isu besar (pilihan raya umum dan Operasi Daulat), yang boleh memberikan impak terhadap penugasan kita. Namun kita yakin kita dapat mengendalikan kedua-duanya dengan baik dan terkawal,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengenai pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada PRU13.
Mohd Bakri berkata dakwaan proses pilihan raya akan terjejas kerana anggota polis tidak mencukupi untuk memantau dan mengawal PRU adalah tidak benar kerana pihak polis telah mengadakan persiapan untuk menghadapi sebarangan kemungkinan.
“Tidak bermakna anggota-anggota kita yang ditempatkan di Lahad Datu itu akan menjejaskan persediaan polis untuk menghadapi pilihan raya.
“Kita ada elemen-elemen tertentu yang boleh membantu dari sudut untuk memastikan pilihan raya itu berjalan teratur terutamanya berkaitan keselamatan,” katanya.
Mohd Bakri berkata PDRM juga mempunyai ‘pelan kontingensi’ dalam menangani masalah-masalah di luar jangkaan dan bersiap sedia dalam menghadapi apa juga cabaran atau masalah.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA/Pengurusan Sempadan/Kawalan Keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim sebelum ini berkata anggota yang mencukupi akan ditempatkan sepanjang proses pilihan raya, lebih-lebih lagi di kawasan yang dianggap ‘hotspot’.
Seramai 112,00 anggota polis di setiap cawangan akan berkawal selepas pembubaran Dewan hingga selesai pilihan raya dan keadaan benar-benar terjamin selamat, katanya.
Muhammad Fuad berkata polis juga memberi jaminan untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar dan pengundi tidak perlu berasa takut untuk melaksanakan tanggungjawab mereka pada pilihan raya umum akan datang
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved