Saya Belum Menerima Sebarang Tawaran Bertanding, Kata Jui Meng

Friday 5 April 20130 comments

PETALING JAYA: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Dr Chua Jui Meng hari ini memberitahu beliau masih belum menerima sebarang tawaran untuk bertanding di mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Menurut Jui Meng, beliau kini ibarat 'tidak mempunyai rumah' apabila kerusi parlimen Gelang Patah yang telah diamanahkan kepada beliau kini akan diwakili DAP pada pilihan raya nanti

"Tiada pintu yang dibuka untuk saya buat masa ini," kata bekas Menteri Kesihatan itu.

"Saya diarahkan untuk menumpukan kerja-kerja di Gelang Patah...kemudian saya disuruh 'keluar dari rumah' itu.

"Terdapat banyak kawasan yang disebut (sebagai ganti), tapi sehingga hari ini masih tiada pintu yang terbuka untuk saya," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Jui Meng pada masa yang sama menegaskan, ketiadaan kerusi untuk ditandinginya ketika ini adalah tidak penting.

Jelasnya, beliau akan tetap membantu rakan komponennya dalam Pakatan Rakyat itu pada pilihan raya akan datang dalam usaha Pakatan untuk merampas Putrajaya.

"Sudah tentu..saya akan bekerjasama dengan PAS, dengan DAP.

"Saya berbesar hati Lim Kit Siang akan bertanding di Gelang Patah.

"Ia satu penghormatan dan saya gesa semua pengundi di Gelang Patah memberi sokongan kepada Lim," kata beliau.

Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali dalam sidang media selepas itu memberitahu beliau telah membuat beberapa tawaran kepada Jui Meng dan berharap ianya dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Kita telah membuat beberapa tawaran, namun proses ini sedang berjalan.

"Saya akan berbincang dengan DAP petang ini jam 3.30 petang dan kita yakin kita boleh selesaikan masalah ini dengan baik dan dengan tertib," kata Azmin.

Jui Meng sebelum ini dikatakan 'merajuk', sukar dihubungi dan terus berdiam diri lebih seminggu setelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kit Siang selaku calon dikerusi parlimen Gelang Patah.

Kemelut perebutan kerusi Gelang Patah tambah meruncing apabila Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau mendakwa Jui Meng menjadi dalang ke atas beberapa serangan hebat terhadap DAP sejak beberapa bulan lalu.
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved