Tiga Wakil England Alami Nasib Berbeza

Thursday 4 April 20130 comments

Tiga wakil England – Chelsea, Tottenham dan Newcastle mengalami nasib berbeza pada aksi suku akhir pertama Liga Europa yang berlangsung, awal pagi tadi.
Chelsea tampak berkelebihan untuk melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Rubin Kazan 3-1 di laman sendiri, Tottenham bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat FC Basel 2-2 manakala Newcastle tewas 1-3 kepada Benfica di gelanggang lawan.
Satu lagi aksi suku akhir yang tidak melibatkan wakil England menyaksikan Fenerbahce menewaskan Lazio 2-0 di tempat sendiri.
Di Stamford Bridge, kemenangan 3-1 Chelsea dibantu dua gol jaringan Fernando Torres pada minit ke-16 dan 70 manakala satu lagi gol disumbat Victor Moses minit ke-32. Rubin Kazan memperoleh jaringan tunggal menerusi sepakan penalti Bebars Natcho minit ke-41.
Di White Hart Lane, Basel selesa mendahului 2-0 hasil jaringan Valentin Stocker (30) dan Fabian Frei (35) sebelum Tottenham bangkit membalas dua gol menerusi Emmanuel Adebayor (40) dan Gylfi Sigurdsson (58) untuk keputusan seri 2-2.
Di Estadio Da Luz, jaringan awal Newcastle menerusi Papiss Demba Cisse (12) tidak bertahan apabila tuan rumah, Benfica kemudian meledak tiga gol menerusi Rodrigo (25), Lima (65) dan penalti Oscar Cardozo (71) untuk kemenangan 3-1.
Di Stadium Sukru Saracoglu, kemenangan 2-0 Fenerbahce ke atas Lazio terhasil menerusi sepakan penalti Pierre Webo (79) dan Dirk Kuyt (90).
Aksi suku akhir kedua bakal berlangsung 11 April.
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved