Yatt Dan Heliza Berkongsi Impian

Tuesday 15 October 20130 comments

Setiap umat Islam pasti memiliki impian untuk menunaikan ibadah haji yang menjadi rukun Islam kelima. Begitu juga yang dirasai dua selebriti, Yatt Hamzah dan Heliza Helmi.
Walaupun kedua-duanya pernah melaksanakan umrah pada awal Jun tahun lalu, kini mereka berdua mengimpikan untuk menunaikan haji secepat mungkin.
Bagi pemilik nama sebenar, Haryati Hamzah, itulah impian ingin digapainya, dalam tempoh usia 33 tahun, sekarang ini.
“Alhamdulillah, sebelum ini saya sudah ke sana mengerjakan umrah dan saya ingin ke sana lagi untuk tunai rukun Islam kelima pula.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya mahu ke sana tahun hadapan.
“Kalau boleh, saya mahu pergi berlima bersama suami, anak, emak dan abah. Namun, jika keadaan tidak mengizinkan, saya akan pergi bertiga dahulu,” katanya yang sebelum ini mengerjakan umrah bersama Heliza Helmi, Irma Hasmie dan Diana Amir.
Sama juga ceritanya dengan Heliza, walaupun masih tidak mempunyai perancangan tarikh, gadis berusia 27 tahun ini berharap agar impiannya itu tercapai secepat mungkin.
“Ya Allah, saya memang teringin nak pergi haji. Itulah antara doa saya setiap hari dan ketika selesai solat. Sebenarnya, setiap malam saya dan emak menonton rancangan televisyen mengenai haji.
“Kalau diizinkan, saya nak pergi bersama keluarga. Kalau boleh, saya nak angkut semua keluarga saya ke sana sebab mesti seronok bila kita menunaikan haji bersama-sama,” katanya yang setiap tahun melaksanakan ibadah korban.
Korban di Kemboja
Heliza memanjatkan syukur kerana pada tahun ini selain di rumah, dia turut menyertai ibadah korban di Kemboja. Pada masa sama bapanya melaksanakan ibadah itu di Makkah melalui sahabatnya.
“Bagi saya, korban bukan sekadar beri bahagian daging kepada orang lain. Sebaliknya kita juga perlu bersedia dan sanggup berkorban apa yang kita sayang.
“Saya saran agar setiap orang tidak melepaskan peluang untuk ibadah ini memandangkan ia setahun sekali, tambahan pula besar pahalanya,” katanya yang bakal menyertai majlis Fitrah Korban di Masjid Sungai Buloh pada 17 Oktober ini.
Tambah Yatt pula, jika tahun lalu, dia hanya melakukan ibadah korban di Malaysia, namun pada tahun ini dia memilih Kemboja.
“Saya terpanggil untuk membantu dan meraikan mereka yang hidup dalam kesempitan dengan mengorbankan seekor lembu. Pun begitu, saya hanya kirim kepada seorang ustaz yang ke sana.
“Insya-Allah, saya juga akan ambil bahagian di sini. Sebelum ini, saya selalu ambil di kampung, Seremban, namun tahun ini tak sempat kerana penyertaan sudah ditutup.
“Mungkin saya akan ambil bahagian di Kuala Lumpur sahaja. Insya-Allah, pada tahun hadapan, saya ingin mengorbankan seekor lembu untuk warga Palestin pula,” katanya.
Hayati erti pengorbanan
Tatkala menyifatkan pengorbanan Nabi Ibrahim sebagai pengorbanan terbesar dan terhebat, Yatt mengakui dirinya masih tidak sekuat itu.
Sambil mengambil iktibar daripada peristiwa itu, Yatt melihat Aidiladha bukan sekadar melakukan ibadah korban semata-mata.
Malah, kata ibu kepada Suci Hanania Malika, 3, ini, nilai pengorbanan itu perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.
“Ramai orang ingat, korban itu setahun sekali. Namun, itu hanyalah korban dari segi fizikal. Kita perlu menerapkan nilai pengorbanan ini dalam kehidupan seharian,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
| |
Copyright © 2011. ynasidek - All Rights Reserved